Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Gerbang Malam yang telah melalui proses penaiktarafan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dijangka bakal beroperasi semula di Jalan Datuk Tahwil Azar hujung bulan Februari ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, proses naiktaraf yang telah dilaksanakan sejak Julai tahun lalu itu kini telah siap sebanyak 90 peratus dan bakal dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat.

Menurutnya, semua peniaga asal yang menduduki kawasan sementara berhampiran bangunan UTC sebelum ini akan kembali ke premis Gerbang Malam yang serba baharu dan dikemaskini dengan kemudahan awam.

“Penaiktarafan itu adalah untuk kualiti dan standard yang lebih baik dan bilangan peniaga kekal sama, penambahbaikan termasuk suasana lebih baik dengan lantai baru, pentas dan pencahayaan semula.

“Malah, pengunjung serta peniaga juga akan lebih selesa dengan kemudahan tandas awam untuk lelaki dan perempuan serta surau untuk beribadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam Persembahan Kebudayaan yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi serta 15 delegasi diplomat dari Kementerian Luar Negara di Restoran Simpang Tiga, di sini pada malam Selasa.

Zamri berkata, pihaknya melalui kerajaan negeri telah membelanjakan sekitar RM3 juta khusus bagi memastikan kualiti Gerbang Malam yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara itu akan sentiasa terjamin.

Jelas beliau, masa beroperasi bagi pusat tumpuan Ipoh itu masih dikekalkan pada waktu yang sama.