IPOH: Gerbang malam, antara destinasi pelancongan popular di Ipoh, akhirnya dibuka semula mulai Selasa selepas tidak beroperasi selama tiga bulan.

Sejak dibuka pada tahun 2002 , ia merupakan antara lokasi yang menghidupkan suasana malam di tengah-tengah bandaraya Ipoh.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpuas hati dengan hari pertama walaupun dalam hujan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Saya mendapati pihak Majlis Bandaraya Ipoh dan peniaga di sini menitik beratkan tentang SOP yang telah ditetapkan.

“Alhamdulilah nampak gayanya ia berjalan lancar dan selepas ini saya harap orang ramai dapatlah memberi sokongan kepada para peniaga di sini kerana telah sekian lama mereka tidak dapat berniaga.

“Tambahan pula, para peniaga di sini kebanyakan daripada mereka juga bergantung kepada pendapatan daripada perniagaan di gerbang malam ini,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau operasi gerbang malam bersama-sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Sepanjang tempoh PKPP , peniaga berniaga bergilir-gilir kerana bilangan mereka hampir 130 sedangkan bilangan setiap malam dihadkan sekitar 60 sahaja.

Bagaimanapun, bagi peniaga, mereka tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya mereka ada pendapatan walaupun tidak seperti dahulu.

Nurul Asyikin Mustafa berkata, dia tetap teruja untuk berniaga walaupun hari hujan.

“Bersyukur sangat-sangat sebab tiga bulan kami tiada pendapatan, walaupun dalam hujan, kami buka juga.

“Walaupun satu cabaran bagi saya ialah menjual barangan bayi dan kanak-kanak, budak tak boleh datang, saya harap ibu bapa datanglah membeli di gerai kami,” ujarnya.