IPOH – Pengusaha serta ejen-ejen jualan tiket di Terminal Bas Amanjaya menggesa campur tangan kerajaan negeri untuk meluluskan permohonan berhubung isu pelaksanaan sistem berpusat baharu bagi semua urusan perkhidmatan bas di terminal berkenaan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Agen Jualan Tiket Bas Ekspress Silveritage Medan Gopeng Mohd Tarmizhi Mohd Yusoff berkata, sistem berkenaan dilihat tidak banyak memberikan manfaat kepada kebanyakan pengusaha bas seperti sebelum ini tetapi sebaliknya memberikan keuntungan berganda kepada pihak tertentu.

Menurutnya, sistem itu juga dilihat bakal memberikan masalah kerana ia akan menjejaskan banyak urusan terutamanya bagi perkhidmatan bas di terminal berkenaan.

“Sistem baru ini dilihat nyata memberikan masalah-masalah tertentu kepada golongan pengusaha bas di terminal berkenaan.

“Antara lain sistem berkenaan menyaksikan wujudnya caj tambahan tertentu bagi urusan keluar masuk bas sebanyak RM10 termasuk urusan mengimbas tiket yang dikenakan caj RM1 bagi penumpang.

“Selain itu, sebanyak 43 kaunter dan hampir 200 kakitangan syarikat bas di terminal berkenaan telah diminta keluar dari terminal berkenaan mulai 8 Mac ini,” katanya kepada Sinar Harian petang tadi.

Tambah Mohd Tarmizhi, beberapa permohonan berhubung perkara berkenaan telah pun dihantar ke pejabat Menteri Besar, tapi masih belum menerima sebarang respon sehingga kini.

“Kita akan adakan satu lagi sidang media setelah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Rapat, esok,” katanya

Sementara itu Mohd Tarmizi berharap agar permohonan untuk meluluskan urusan mengambil serta menurunkan penumpang di Silveritage Medan Gopeng.

Secara tidak langsung katanya, perkara berkenaan akan menjadikan kawasan berkenaan dapat kembali berfungsi sebagai sebuah terminal bas seperti sebelum ini.

“Kewujudan terminal bas di bangunan Silveritage ini nanti akan memberikan kemudahan untuk laluan bas ke arah selatan manakala Terminal Amanjaya menjadi laluan ke arah utara,” katanya – sinar harian