IPOH: Kerajaan negeri bersama Pihak Berkuasa Tempata (BPT) digesa mewujudkan garis panduan bagi perniagaan trak makanan di Ipoh.

Tan Kar Hing (PKR – Simpang Pulai) berkata, panduan perniagaan itu perlu diwujudkan ekoran perniagaan itu telah menjadi satu trend di kalangan belia, khususnya di Ipoh.

“Kalau boleh pihak terlibat wujudkan panduan ke atas industri ini kerana ketika ini yang saya tahu golongan ini hanya mempunyai lesen perniagaan bergerak konvensional.

“Industri ini semakin popular di kalangan usahawan muda khususnya di Ipoh dan kawasan-kawasan berdekatannya seperti Taiping serta Sitiawan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Sidang DUN.

Tambah beliau, garis panduan perniagaan itu perlu dibuat dengan adil tanpa memberi terlalu banyak kelebihan kepada jenis perniagaan itu berbanding industri sedia ada.

“Perlu juga diambil kira faktor-faktor serta nasib kedai sedia ada yang menjual makanan, tak boleh beri terlalu banyak kelebihan tetapi lupakan industri atau peniaga-peniaga sedia ada ini,” ujarnya.