TAIPING : Persatuan Nelayan Perak meminta kerajaan Persekutuan supaya campur tangan berhubung cadangan Pulau Pinang untuk melombong pasir di perairan utara negeri ini bagi membina tiga pulau di negeri berkenaan.

Pengerusinya Mansor Yusof berkata perlombongan pasir bagi menambak tiga pulau seluas 1,821 hektar jika dilaksanakan akan memberikan kesan kepada hampir 9,000 nelayan di negeri Perak.

“Nelayan bimbang kerana impak perlombongan pasir akan menyebabkan berlakunya hakisan pantai yang boleh menjejaskan sumber perikanan kepada nelayan, “Jika lombong dikorek sedalam 20 hingga 30 kaki akan berlaku pergerakan kerak bumi yang boleh menyebabkan tsunami,” katanya dalam sidang media selepas majlis taklimat mengenai perlombongan pasir di utara Perak kepada pelbagai NGO di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan Pulau Pinang bercadang membina tiga pulau buatan menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dengan kos RM49 bilion.

Sementara itu Koordinator Penang Forum Khoo Salma berkata cadangan tersebut jika direalisasikan akan menggunakan 189 juta meter padu pasir yang dikorek di perairan Tanjung Piandang hingga ke Pulau Pangkor.

Beliau berkata tindakan itu yang dijangka dimulakan setelah mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) akan memusnahkan dasar laut dan memberi kesan kepada tangkapan nelayan.

Katanya beberapa NGO termasuk persatuan nelayan di Perak dan Pulau Pinang yang membantah perlombongan pasir itu akan mengadakan bantahan secara aman di Parlimen pada 11 Julai ini, pukul 9 pagi.

— BERNAMA