IPOH – Beberapa jalan utama di pusat bandaraya Ipoh akan ditutup atau dilencongkan bersempena program kayuhan basikal bertaraf antarabangsa ‘Gran Fondo New York’ (GFNY) Malaysia 2017 pada 23 April ini.
Ketua Bahagian Siasatan dan Peguatkuasaan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kesemua lencongan dan laluan terlibat akan ditutup secara berperingkat.
“Program ini merupakan kayuhan sejauh 160 kilometer (km) dan 80km yang akan bermula dari Extreme Park, Sunway City, Tambun di sini melibatkan laluan utama daerah Ipoh, Batu Gajah, Kampar, Tapah dan akan tamat di Extreme Park semula,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jalan yang terlibat adalah Jalan Tambun, Jalan Raja Musa Mahadi, Jalan Sultan Nazrin Shah, Jalan Raja Permaisuri Bainun, Jalan Leong Boon Swee, Bulatan Bahagia, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Ashman Shah dan Jalan Raja Dihilir.
Katanya orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif ke pusat bandaraya iaitu dari Jalan Sultan Azlan Shah/Jalan Raja Dihilir/Jalan Sultan Iskandar Shah, Jalan Kuala Kangsar/Jalan Kompleks Islam/Jalan Lim Bo Seng, Jalan Lahat/ Jalan Sultan Yusof dan Jalan Tun Abd Razak-Jalan St. John/ Jalan Regat Tun Perak.
Selain itu, Wan Sharuddin berkata, beberapa jalan akan turut ditutup dan dilencongkan bersempena program Ipoh Cycle Fest 2017 dari 28 hingga 29 April dari 11.59 malam hingga 2 pagi.
“Lencongan dan penutupan jalan akan dibuat berperingkat melibatkan laluan Jalan Tun Sambathan, Jalan Sultan Yusof, Jalan S.P Seenivasagam, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Jalan Dato’ Sagor, Jalan Maharajalela dan Jalan Bandar,” katanya. – Bernama