Sivanesan pada sidang media hari ini

IPOH – Jabatan Kesihatan Perak mengesahkan menerima aduan berhubung penjualan produk gula-gula yang mengeluarkan asap dikenali ‘Ghost Candy’ dan ‘Smoke Candy’ dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan berkata, aduan diterima melibatkan penjualan di sebuah sekolah di Kinta.

“Pada 24 Julai lalu, satu pemeriksaan telah dilakukan melibatkan peniaga dan gerai berhampiran sebuah sekolah di sini.

“Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan atau rampasan dilakukan,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesihatan ‘Jom Quit, Rokok Merbahaya’ di Klinik Kesihatan Buntong di sini hari ini.

Sivanesan berkata, pihaknya memandang serius penularan gejala itu dan akan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh di kawasan terlibat.Pemeriksaan dilakukan Jabatan Kesihatan pada 24 Julai lalu.
“Walaupun aduan kita terima di satu sekolah sahaja, kita tetap akan lakukan penguatkuasaan secara terperinci bagi membendung gejala ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melahirkan kebimbangan dan meminta produk seperti rokok itu tidak dijual serta dipasarkan kepada anak-anak sekolah.

Dilaporkan gula-gula itu dijual di Papar, Kota Kinabalu dan kawasan lain di Sabah berikutan rampasan 766 produk ‘Ghost Candy’ dan ‘Smoke Candy’ bagi kesalahan pelabelan di bawah Akta Makanan 1983.

Terdahulu, tular di media sosial sekumpulan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan di gerai-gerai berhampiran sebuah sekolah di Kinta bagi mengesan penjualan produk gula-gula ala Vape.

 

-SINARHARIAN