IPOH: Di sebalik isu ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup yang dikatakan semakin meningkat, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. melancarkan pasaraya Giant kelimanya di bandaraya Ipoh, hari ini.

Pelancaran Giant Falim disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNKK), Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Basaruddin Sadali.

Hadir sama Pengerusi GCH Retail (Malaysia), Rossana Anizah;  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pierre-Olivier Deplanck dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dairy Farm Group, Ian Mcleod.

65ea1095-2fbf-4147-a467-dad09f3677af

Menurut Badaruddin, KPDNKK sentiasa menyokong inisiatif untuk meningkatkan lagi ekonomi negara, termasuk menggalakkan pertumbuhan sektor peruncitan dan pemborongan.

Beliau memberitahu, berdasarkan Jabatan Perangkaan, jumlah indeks kedua-dua sektor tersebut meningkat 7.3 peratus pada November lalu, berbanding dengan November 2016.

“Peningkatan itu disumbangkan oleh peningkatan perdagangan peruncitan sebanyak 8.4 peratus dan pemborongan 8 peratus,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Giant Falim hari ini

Menurutnya, nilai jualan kedua-dua sektor itu juga berada pada RM97.7 juta pada November tahun lalu, berbanding tempoh yang sama tahun 2016.

Sementara itu, Prerre-Olivier Deplanck berkata, Giant Falim adalah antara pasaraya yang terbesar di kawasan utara Semenanjung Malaysia dengan keluasan 102,794 kaki persegi yang menawarkan 23,000 produk dari lebih 200 kategori.

Pada majlis itu, Giant bekerjasama dengan Yayasan MyKasih untuk membantu menyediakan barangan keperluan harian kepada 50 keluarga kurang bernasib baik, selama setahun.