Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK – Jika semalam anggota RELA menerima berita gembira kenaikan bayaran elaun daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan kenaikan elaun bagi anggota Pertahanan Malaysia (APM).

Kenaikan itu melibatkan anggota biasa sebanyak RM8 sejam daripada RM6 sebelum ini manakala anggota yang berpangkat pegawai akan menikmati kenaikan sebanyak RM9 sejam daripada RM7.80 sebelum ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kenaikan elaun tersebut bertujuan menyuntik motivasi serta emangat kesukarelawanan yang berterusan kalangan anggota dan pegawai APM.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi pembelian uniform pasukan APM sebagai tambahan kepada peruntukan RM5 juta yang diumumkan untuk tahun 2017.

“Dengan ini, saya turut meminta kepimpinan tertinggi di bawah teraju Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim supaya mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan lebih banyak perjawatan bagi membolehkan kenaikan gred pegawai tetap APM di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program YAB Timbalan Perdana Menteri bersama Warga APM Bagan Datuk di Dewan Gemilang, SM Sains Bagan Datuk di sini,hari ini.

Ahmad Zahid juga dalam pada itu mengingatkan para anggota dan pegawai akan tahap kepedulian dan keprihatinan kerajaan yang akan memberikan kenaikan elaun itu kepada semua warga APM di seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata komitmen tersebut merupakan simbolik penghargaan kerajaan yang tidak pernah lupa untuk melunaskan tanggungjawabnya kepada anggota sukarelawan seperti APM yang sedia berkhidmat untuk membantu negara setiap masa.

Tegasnya kenaikan elaun ini bukanlah untuk kepenting politik semata-mata.

“Tuan-tuan, tidak pernah minta tetapi kami tak perlu diminta kerana sekiranya perkara itu munasabah untuk diberikan sebagai penghargaan kepada semangat kesukarelawanan…tak perlu diminta kerajaan akan luluskan.

“Justeru, kerajaan yang sedia ada perlu diberikan dokongan bagi meneruskan kesinambungan ini. Perdana Menteri, serta rakan-rakan dalam Jemaah Menteri juga akan membantu, kali ini kita dapatkan yang terbaik, dapatkan 2/3 majoriti kerusi di Dewan Rakyat,”katanya lagi dalam program yang dihadiri hampir 3,000 anggota dan pegawai APM.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Azmy Yahya.

Ahmad Zahid mengakui bahawa terdapat beberapa kelemahan dan kesilapan yang dilakukan sepanjang pentadbiran kerajaan namun ianya diperbaiki dari masa ke masa.
“Kita akui terdapat kepincangan namun kepincangan itu bukan berpanjangan…kita perbaiki dan kita naikkan prestasi dan hari ini kita akan terus buktikan pilihan rakyat iaitu Barisan Nasional merupakan pilihan tepat bagi kerajaan yang baik untuk semua,” ujarnya lagi.