IPOH 26 Okt. – Setelah memena­ngi piala dalam liga yang diwakili­nya iaitu di Brazil dan di Sweden, penyerang import Perak, Gilmar Da Silva tidak mahu ketinggalan untuk menjulang kejuaraan dalam liga bola sepak negara ini.

Pentas akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC 1 (TFC 1) di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini merupakan peluang terbaik untuk mencapai hasratnya itu setelah sebelum ini dia gagal membantu bekas pasukannya, Kelantan dalam perlawanan akhir Piala FA 2013 apabila kalah 0-1 kepada JDT.

Bagi pemain kelahiran Brazil itu, Sabtu ini merupakan peluang keduanya untuk mengukir sejarah mendakap kejuaraan pertamanya dalam kancah bola sepak negara ini.

“Sejak bergelar pemain bola sepak pada 2005, saya sudah memenangi piala di tempat kelahiran saya di Brazil dan Sweeden namun belum memenangi apa-apa piala di sini.

“Untuk final nanti, saya tidak boleh menjanjikan berapa jaringan yang akan lakukan namun sudah pasti aksi terbaik untuk memenangi perlawanan,” katanya.

Menurut Gilmar, untuk aksi Sabtu ini, pengendali pasukan Mehmet Durakovic tiada memberikan arahan khusus kepadanya namun akur dengan amanat jurulatih itu supaya semua pemain fokus di sepanjang perlawanan.

“Jurulatih mahu kami memberikan sepenuh tumpuan dalam 90 minit di atas padang, inilah yang akan kami lakukan nanti,” katanya.

Mengenai skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim, Gilmar berkata, TFC 1 pasukan yang bagus namun Perak juga mempu­nyai kekuatan seimbang – utusan online