PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan terdapat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan menerima pelbagai tekanan daripada pentadbiran kerajaan terdahulu berhubung urusan pembayaran hutang syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, pegawai kementerian dan agensi kerajaan diberikan arahan bertulis bagi memastikan segala urusan berkaitan syarikat terbabit berjalan lancar.

“Terdapat banyak tekanan, namun mereka mendapat arahan bertulis, anda bukan bercakap mengenai juta-juta ringgit tetapi bilion ringgit, malah ada pegawai kementerian yang tahu.

“Walaupun tanpa arahan bertulis pun mereka pasti akan dikenakan tindakan dan saya yakin mereka berdepan dengan banyak tekanan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Guan Eng mengesahkan laporan akhbar The Wall Street Journal dan agensi berita, Reuters bahawa dana Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional Berhad digunakan untuk membayar hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).

“Berdasarkan kenyataan media dikeluarkan pada 22 Mei lalu, Kementerian Kewangan sudah membuat pembayaran bagi pihak 1MDB berjumlah RM6.9 bilion kerana syarikat ini tidak mampu membuat pembayaran.

“Jumlah pembayaran ini dibuat kepada IPIC sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian sebanyak RM5.05 bilion,” katanya

Beliau berkata, sumber pembayaran dibuat kepada IPIC/Aabar bagi pihak 1MDB ialah Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Terkumpul (RCCPS) oleh Khazanah Nasional Berhad bernilai RM1.199 bilion.

Selain itu, sebuah syarikat dimiliki secara tidak langsung oleh Kementerian Kewangan iaitu Hartanah Mampan Sdn Bhd sudah mengadakan perjanjian jual beli dengan BNM menerusi sebidang tanah yang strategik terletak bersebelahan Sasana Kijang bernilai RM2.066 bilion – berita harian