WANGSA MAJU – Gerakan Martabat Pejuang Negara Malaysia (GMPN) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang mencadangkan supaya kakitangan awam termasuk anggota tentera dikurangkan.

Presiden GMPN, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, kerajaan dan agensi berkaitan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu bertindak tanpa prejudis melakukan siasatan ke atas Yew Yin.

Menurutnya, kenyataan Yew Yin bukan sahaja melampaui batas malah ia boleh menjejaskan keamanan serta keharmonian negara.

“GMPN menentang sekeras-kerasnya apa yang dinyatakan oleh Yew Yin kerana kenyataan itu mencabar kewibawaan dan profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta mewujudkan perasaan kebencian, hilang kepercayaan rakyat terhadap ATM,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju hari ini.

Razali berkata, apa yang dinyatakan Yew Yin ini adalah satu fitnah jahat, hasutan terancang untuk memburuk dan mencemarkan nama baik ATM selaku benteng pertahanan negara.

“Kenyataan ahli perniagaan itu boleh dikategorikan sebagai penderhakaan terhadap negara dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Semalam, Yew Yin dalam laman blog kendaliannya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan.

Antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Memetik laporan Air Times, Yew Yin mendakwa majoriti anggota tentera tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran dan sepatutnya mereka digunakan untuk mengganti pekerja asing yang diupah di ladang Felda.

Tulisan Yew Yin tersebut menjadi tular dalam media sosial dan membangkitkan kemarahan banyak pihak termasuklah warga maya.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati artikel yang dimuat naik Yew Yin di blognya itu telah dipadam.