KUALA LUMPUR: Goldman Sachs menegaskan kerajaan Malaysia yang terdahulu berbohong kepada bank pelaburan itu selepas Malaysia memfailkan pertuduhan terhadap Goldman Sachs Group Inc berhubung skandal kewangan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Peguam Negara, Tommy Thomas, mendakwa bank itu dan dua bekas kakitangannya berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan skandal berkenaan.

Thomas dalam kenyataannya semalam, berkata akan mengambil tindakan terhadap Goldman Sachs dan empat individu lain kerana mengalihkan dana yang berjumlah kira-kira AS$2.7 bilion (RM11.2 bilion) dari 1MDB, menyogok pegawai dan memberi kenyataan palsu berkaitan dana 1MDB.

Wang berkenaan digunakan untuk membeli pelbagai barangan termasuklah kapal layar dan karya seni, merujuk kes penipuan yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Goldman Sachs diasak dengan pertanyaan mengenai peranannya sebagai bank yang sepatutnya membantu 1MDB menambah hasil dana menerusi beberapa penerbitan bon.

“Beberapa bekas kakitangan kerajaan Malaysia dan 1MDB berbohong kepada Goldman Sachs, pegawai undang-undang dan individu lain mengenai keberhasilan urus niaga ini.

“Ketua Pegawai Eksekutif dan Lembaga Pengarah 1MDB yang bertanggungjawab melaporkan terus kepada perdana menteri ketika itu, memberikan jaminan bertulis kepada Goldman Sachs bahawa tidak ada perantara yang akan terbabit untuk setiap transaksi,” kata jurucakap Goldman Sachs, Michael DuVally dalam satu kenyataan.

Low Taek Jho atau Jho Low dituduh sebagai dalang penipuan skandal 1MDB tetapi tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam dana itu dan meskipun diasak dengan pelbagai tuduhan, dia tetap mengaku tidak bersalah.

Selain itu, bekas pengerusi dan pengarah urusan Goldman Sachs di Asia Tenggara, Tim Leissner dan pengarah urusan Goldman Sachs, Ng Chong Hwa turut didakwa.

Kata DuVally, bank itu tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri sebelum tuduhan itu difailkan dan akan mencabar pendakwaan itu.

Pihak berkuasa Malaysia mendakwa kira-kira AS$2.7 bilion (RM11.2 bilion) disalahgunakan daripada terbitan bon 1MDB selain bank itu mengenakan komisen dan yuran ‘atas purata’ bernilai AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Selain Leissner, Chong Hwa dan Jho Low, pihak berkuasa Malaysia turut mendakwa bekas pekerja 1MDB Jasmine Loo Ai Swan.

Saham Goldman Sachs turun 2.8 peratus pada Isnin lalu selepas pertuduhan itu dibacakan. – AFP