IPOH: Kerajaan negeri sentiasa menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan golongan belia dalam pembangunan Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata malahan kerajaan negeri juga sentiasa berusaha untuk mewujudkan platform demi platform bagi memastikan golongan itu mempunyai saluran untuk menyumbang dari pelbagai aspek termasuk idea.

“Kerajaan negeri melihat belia sebagai rakan dan sebahagian daripada kita (pemimpin) kerana itu semua yang kita buat ini sebenarnya adalah untuk mereka dan generasi akan datang.

“Pandangan mereka perlu kita dengar kerana keinginan serta bakat golongan belia ketika ini adalah berbeza sama sekali dengan zaman dahulu,“ katanya ketika sesi dialog Peranan Anak Muda Membangunkan negeri Perak, di sini pada Rabu.

golongan belia rakan kerajaan negeri perak 8Dialog tersebut merupakan salah satu intipati Program Santai Anak Muda Bersempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Kinta. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahaya.

Justeru, tambah Dr Zambry, selari dengan konsep ‘tiada tiada tertinggal, tiada terpinggir’ yang diamalkan selama ini, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai program serta platform bagi memastikan golongan itu dilibatkan dalam pembangunan negeri.

“Antara contoh yang telah kita laksana adalah Dewan Undangan Negeri Belia, seramai 60 belia di seluruh Perak dipilih untuk mereka sampaikan pendapat masing-masing, malahan ada idea yang disampaikan itu dijadikan dasar kerajaan negeri.

“Untuk golongan yang mempunyai kemahiran luar biasa, kita tubuhkan PORT supaya mereka semua ada tempat berkumpul, bertukar pendapat, berkongsi kemahiran dan sebagainya.

“Malahan ia kini menjadi rujukan oleh pelbagai pihak luar yang berminat dengan konsep yang kita wujudkan golongan belia ini,” ujar beliau.

Menteri Besar juga memberitahu terbaharu, kerajaan negeri sedang meneliti beberapa kawasan untuk dibangunkan satu litar untuk sukan permotoran.

“Kita sedang merancang serta melihat beberapa lokasi kerana kita perlu pastikan kawasan itu betul-betul sesuai serta tidak akan menganggu ketenteraman awam.

“Kita faham anak muda perlukan tempat begini, kerajaan negeri positif. Insyallah kita akan buat beberapa kajian dahulu dan pengumuman akan dibuat nanti,” kata Dr Zambry.