IPOH: Golongan LGBT di Perak yang ingin kembali ke pangkal jalan turut layak menerima zakat.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bagaimanapun berkata, mereka dimasukkan di bawah kategori asnaf Fisabililah, bukannya Al Riqab seperti di Selangor.

“Mereka ini kita masukkah ke dalam golongan Fisabilillah supaya dia terasa bahawa Islam ini cukup baik, walaupun mereka dalam golongan macam itu, pun diberi dengan itu, dia mendekati Islam,” katanya katanya kepada pemberita selepas menutup program Wacana Kesejagatan Ummah di Dewan Bandaran Ipoh, di sini, hari ini.

Harussani berkata, golongan LGBT itu juga boleh menerima zakat sekiranya mereka termasuk di dalam kumpulan asnaf yang lain seperti fakir dan miskin.

Baru-baru ini, media melaporkan beberapa golongan, antaranya pelacur, gigolo serta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kini layak menerima zakat di Selangor.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 14 Mei 2012 “bersandarkan kebajikan dan kasih sayang dalam lslam supaya golongan berkenaan tidak terpinggir dan berasa seolah-olah didiskriminasi”.

Ia dimasukkan dalam kategori asnaf Al Riqab Selangor serta yang berkaitan dengannya.

Dalam pada itu, Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim memberitahu, kira-kira 30 orang dari golongan LGBT di Perak sedang menjalani program pemulihan yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu tidak didedahkan kerana ia boleh memberi aib kepada golongan tersebut.