KUALA LUMPUR : Umat Islam yang terpaksa meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut kerana perintah berkurung akibat penularan wabak penyakit, tidak termasuk golongan munafik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan, mereka yang termasuk golongan munafik adalah yang mengambil ringan atau sengaja tidak menunaikan solat Jumaat tanpa uzur atau sebab munasabah.

Beliau turut menyifatkan mereka yang membuat dakwaan sebegitu sebagai tidak memahami masalah umum yang berlaku serta salah faham terhadap hadis Rasulullah SAW.

“Tanggal hari ini masuk kali ketiga kita tidak dapat menunaikan solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan pada 18 Mac lalu.

“Kami merasa risau apabila diberitahu oleh pihak keselamatan terdapat segelintir pihak yang berkeras mahu menunaikan solat Jumaat hari ini.

“Alasan mereka kerana terdapat hadis menyebut sesiapa yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali, maka ia termasuk golongan munafik. Kami ingin tegaskan, apa yang didakwa itu adalah suatu salah faham yang jelas,” katanya menerusi laman sesawang https://zulkiflialbakri.com/kalamuna-siri-3-solatlah-zuhur-di rumah-jangan-pergi-masjid/, hari ini.

Sejak PKP dilaksanakan 18 Mac hingga 14 April ini bagi membendung penularan wabak COVID-19, kerajaan mengarahkan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat serta solat berjemaah ditangguhkan.

Zulkifli menjelaskan, solat Jumaat tidak menjadi wajib dilaksanakan berikutan negara ketika ini berdepan penularan wabak COVID-19 iaitu satu wabak penyakit berjangkit.

“Justeru, ia lebih bersifat kemaslahatan umum yang kita disuruh untuk kuarantin dan duduk di rumah, yang perlu lebih lagi diutamakan,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak memahami hadis Rasulullah SAW yang berkaitan dengan solat Jumaat secara menyeluruh sebelum membuat apa-apa pendirian atau keputusan.

Perkara ini juga sudah dibincangkan bersama pihak lain seperti Kementerian Kesihatan dan juga pakar berkaitan.

“Sesungguhnya kita semua mahu segera keluar daripada kemelut pandemik ini, namun ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak terutama diri kita sendiri.

“Akhir kalam, jangan pergi masjid. Solatlah Zuhur berjemaah di rumah atau di tempat masing-masing,” katanya.