IPOH
: Kerajaan negeri hari ini mengagihkan peruntukan sejumlah RM505,000 kepada golongan pendidik melibatkan 165 sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Utara.

Peruntukan itu merupakan sumbangan kerajaan negeri kepada organisasi terbabit bagi melaksanakan aktiviti berkaitan pentadbiran dan kebajikan melibatkan kakitangan dan guru.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sumbangan tersebut merupakan satu tanda penghargaan kepada para pendidik di daerah Kinta yang sebenarnya tidak ternilai dengan wang ringgit.

Katanya, beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu sedikit sebanyak dalam melaksanakan aktiviti yang dirancang oleh kelab-kelab guru di kesemua 165 buah sekolah itu.

Dalam majlis tersebut, Dr Zambry juga sempat memberikan beberapa peringatan dan pesanan kepada cabaran dunia pendidikan yang kini semakin berubah dan dinamik.

Jelasnya, beliau menyedari terdapat beberapa pihak yang cuba mempertikaikan prestasi akademik Malaysia yang dikatakan agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara lain.

Bagaimanapun, Dr Zambry menegaskan bahawa secara peribadi beliau merasakan bahawa tahap sebenar kejayaan tidak diukur berdasarkan prestasi subjek tertentu semata-mata.

“Saya mempunyai falsafah pendidikan tersendiri, bagi saya pendidikan itu bukanlah diukur dari segi subjek contohnya Sains dan Matematik, tetapi sejauh mana kita dapat membentuk seorang manusia yang baik.

“Ini kerana, pendidikan itu sebenarnya mendidik seorang menjadi manusia, bukan bertujuan mengubah dia menjadi watak robot atau lain-lain,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Sesi Beramah Mesra dengan Warga Pendidik Daerah Kinta Utara di Dewan SMK Gunung Rapat, dekat sini pada Khamis.

Jelasnya, kerajaan negeri juga sentiasa memastikan bahawa pihaknya akan membantu PPD di Perak dalam melahirkan golongan pelajar yang memiliki prestasi akademik mampan.