IPOH: Pengunaan “Google Translate” merupakan punca kesalahan penulisan notis Bahasa Inggeris di Pusat Penerangan Pelancongan Perak di sini, yang tular di dalam media sosial baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mengikut laporan awal Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kecuaian tersebut dilakukan oleh seorang kakitangannya yang bertugas di pusat terbabit.

“Saya  menghubungi Datuk Bandar mengenai isu ini dan penjelasan awal mendapati kakitangan terbabit menggunakan Google Translate supaya mahu ia nampak international.

“Jadikan ini pengajaran, mana-mana kakitangan sebelum mengeluarkan kenyataan atau apa-apa saja tulisan untuk tatapan awam perlu dimaklumkan kepada ketua masing-masing dulu.

“Jangan memandai dan buat pandai kerana masalah bahasa ini elok ditanya dulu, kalau tak pasti rujuk dahulu kerana Ianya akan menjadi tatapan ramai serta melibatkan imej kita,” katanya pada satu sidang media di sini pada Rabu.

Dalam masa sama, Dr Zambry juga memberi peringatan segala urusan rasmi kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya dilakukan dalam Bahasa Malaysia.

“Dah berulang kali saya sebutkan, segala memo atau sebagainya perlu dilakukan dalam bahasa Malaysia. Sekiranya mahu dalam bahasa Inggeris, ia perlu ditulis bersama-sama bahasa Malaysia.

“Perkara ini memang nampak kecil tapi ianya merupakan imej kita, menunjukkan bagaimana kita tidak serius dalam membuat kenyataan sekaligus mengundang tohmahan-tohmahan oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan,” kata beliau.

Menurut kenyataan MBI yang dikeluarkan pada Isnin, sekiranya laporan lengkap mendapati terdapat kecuaian dan kesilapan telah dilakukan, anggota berkenaan akan diberikan surat amaran keras serta nasihat supaya isu seumpama ini tidak akan berulang di masa hadapan.