IPOH: Dalam usaha untuk menggalakkan budaya bersukan di kalangan anak muda, sebuah Akademi Futsal akan ditubuhkan di Parlimen Gopeng.
Ahli Dewan Negara, Datuk Hamzah Mohd Kasim berkata, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji dengan lebih terperinci cadangan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya juga merancang untuk melantik jurulatih yang berkaliber bagi mengendalikan akademi berkenaan.
“Dalam jangka masa panjang, kami akan mewujudkan kejohanan futsal peringkat Parlimen Gopeng,” katanya kepada Suara Perak selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Futsal Kg Rapat Jaya Tambahan di sini pada Ahad.
Hadir sama Penasihat Hal Ehwal Perpaduan Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Wanita MCA Malaysia, Datuk Heng Saei Kei dan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Perkasa Perak, Suhaimi Derais.
Suhaimi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pertandingan Futsal itu memberitahu, sebanyak 24 buah pasukan mengambil bahagian di dalam pertandingan tersebut.
Pasukan Silver Cat muncul juara pertandingan selepas menumpaskan pasukan Pencinta Setia FC 1 – 0 dalam perlawanan akhir manakala pasukan BSR mendapat tempat ketiga dan Pernama United keempat.
IMG-20170508-WA0000
Juara menerima wang tunai RM800, kedua RM500, ketiga RM300 dan keempat RM100.