KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sebuah lokasi tidak didedahkan di ibu negara malam ini.

Menurut sumber, pertemuan itu diadakan atas permintaan khas pemimpin GPS bagi membincangkan mengenai gabungan untuk membentuk kerajaan.

“Pemimpin GPS meminta Najib menjadi mediator dalam usaha mendapatkan jumlah kerusi bagi membentuk kerajaan baharu.

“Permintaan khas itu dibuat memandangkan Najib adalah ‘bos’ lama mereka ketika beliau menerajui kerajaan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Najib dilihat meninggalkan sesi pertemuan antara Ahli Parlimen UMNO dan PAS di sebuah restoran di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) secara tergesa-gesa.

Buat masa ini, perjumpaan membabitkan Ahli Parlimen itu masih berlangsung. -BH