IPOH– Seramai 4,000 graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) akan dipilih bagi lantikan pertama secara kontrak berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye ekoran timbul kebimbangan para graduan berhubung soal penempatan dan kelewatan lantikan kerana tiada jawatan kosong yang mencukupi bagi skim berkaitan.

“Kalau ikut jawatan yang sedia ada, mungkin tidak mencukupi untuk menampung graduan yang lulus dari semua ILKKM ini, namun apabila jawatan tetap tidak ada, kita boleh lantik secara kontrak.

“Ini antara cara kita untuk mengatasi masalah penjawatan, mereka yang berprestasi cemerlang boleh diserap dalam sistem perkhidmatan Kementerian.

“Lantikan pertama sebanyak 4,000 graduan dan akan dilantik mulai 1 Januari 2019, kita laksanakan kontrak itu untuk empat tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia 2018 di Kolej Sains Bersekutu Sultan Azlan Shah , Ulu Kinta pada Isnin.

Yang turut sama, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad.

Dalam pada itu, kata Dr Boon Chye, Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengambil beberapa langkah bagi menyegerakan pelantikan graduan ILKKM.

“Antaranya termasuk mewujudkan jawatan-jawatan tambahan dalam skim paramedik dan auksiliari menerusi ‘trade off’ jawatan skim perkhidmatan yang lain.

“Melaksanakan pengisian jawatan-jawatan naik pangkat menerusi urusan pemangkuan serta pengisian untuk membantu mengosongkan jawatan di gred lantikan,” ujarnya.

Katanya lagi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyambut baik cadangan tersebut, jika diluluskan kelak graduan bagi JUN 2017 akan diberi keutamaan untuk tawaran pelantikan secara kontrak disusuli dengan kelompok Disember 2017 dan Jun 2018.