IPOH: Great Britain akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan selama 23 tahun di pentas Piala Sultan Azlan Shah apabila melakar kejutan menewaskan juara dunia, Australia 4-3 di Stadium Azlan Shah yang dipenuhi kira-kira 3,000 penonton sebentar tadi.

Kali terakhir Great Britain menjuarai kejohanan jemputan tertua dunia itu pada edisi 1994. Ia menjadi lebih bermakna apabila skuad bimbingan Bobby Crutchley itu berjaya dalam misi merampas gelaran dimenangi Australia pada tahun lalu selain memastikan Kookaburras gagal dalam misi menjuarainya buat kali ke-10.

Bagaimanapun, Great Britain harus berterima kasih kepada pakar flick mereka iaitu David Goodfield apabila dua jaringannya membantu skuad itu kekal menang biarpun Australia cuba melakukan kebangkitan di hujung aksi.

Piala kemenangan disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.Dalam aksi perebutan tempat ketiga, India menepati ramalan apabila membelasah New Zealand 4-0 sekali gus mengubati kekecewaan gagal mara ke final.

Pakar flick, Rupinder Pal Singh muncul wira India apabila meledak dua jaringan pada minit ke-17 dan 27 dengan masing-masing satu gol oleh Sunil Sowmarpet (48) dan Talwinder Singh (60).

WhatsApp Image 2017-05-06 at 23.19.30

-bharian