Pemilik Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Dr Vida didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah atas 16 pertuduhan berkaitan GST.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu ke atas Dr Vida yang menghadapi 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata cukai barang dan perkhidmatan (GST) dari April 2015 hingga Julai tahun ini.

Dr Vida menukar pengakuannya ketika mahkamah bersidang bagi mendengar sebutan kes pada hari ini.

Mengikut pertuduhan, Dr Vida, 45 didakwa sebagai seorang yang berdaftar di bawah Akta GST 2014 dan pemilik tunggal perniagaan Vida Beauty yang telah gagal mengemukakan penyata cukai GST pada tarikh ditetapkan kepada Kastam Diraja Malaysia antara April 2015 sehingga Julai tahun ini berjumlah lebih RM4.2 juta.

Kesalahan di bawa Seksyen 41(7) Akta GST 2014 itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh pada 11 Februari, 1 Jun dan 22 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan tidak membuat apa-apa bantahan.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan 30 Disember ini sebagai tarikh sebutah semula bagi 16 lagi pertuduhan gagal membayar GST bernilai RM4.2 juta dalam tempoh sama mengikut Seksyen 41(7) akta sama.

Tertuduh diwakili peguam Syed Ahmad Syed Abas.