IPOH: Pendapat yang mengatakan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) haram adalah pandangan, bukannya fatwa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, gesaan untuk mengharamkan GST itu perlu melalui perincian teliti dan tidak dicadangkan secara sewenang-wenangnya.

Dr Zambry yakin barisan ulama mempunyai pandangan yang melibatkan maslahah (kepentingan) rakyat, namun ia perlu merujuk kepada konteks dan sistem percukaian tersebut terlebih dahulu.

“Pandangan itu adalah pandangan peribadi berdasarkan pengetahuan yang ada padanya, tetapi dalam konteks fatwa, ia berlainan, walaupun mufti yang memberikan itu adalah pandangan, bukan fatwa mufti.

“Kena faham, apabila sesuatu pandangan dikemukakan maka yang akan menggunakan kuasa tertinggi di peringkat negeri untuk menfatwakan dalam negeri beraja itu adalah sultan, samada ia terpakai atau tidak, jangan kita terkeliru dengan pandangan yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawran Lot Kediaman Rancangan Perumahan Tersusun ( RPT) Bemban Rakyat Kepada Setinggan Buntong di Dewan Serbaguna, SUK pada pagi Selasa.

Jelasnya, perbincangan mengenai pengharaman GST perlu diserahkan kepada jawatankuasa perundingan di setiap negeri dan seterusnya dilanjutkan ke peringkat kebangsaan.

Katanya, ada pihak yang beranggapan cukai tersebut dikira haram kerana mengambil andaian ianya membebankan orang miskin, namun caj cukai tersebut turut diaplikasikan kepada perniagaan.

“Sebelum fatwa diputuskan, ia memerlukan perincian. Bukan saya mahu menegur mana-mana pihak tetapi selalunya termasuk JAKIM, akan duduk bersama untuk membuat keputusan, bukanlah sewenangnya meletakkan GST ini terus haram,” ujarnya.

Dr Zambry menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan komen daripada mufti yang kemungkinan mengeluarkan kenyataan berdasarkan pandangan politik tersendiri.

“Mungkin mufti itu tinggal di sebuah negeri pembangkang, maka dia mengeluarkan pandangan yang sealiran, bagi saya soal agama ini bukanlah sensitif tetapi amat memerlukan perincian.

“Saya menyeru, agar perkara ini perlu diperincikan antara ahli muktabar, orang yang benar-benar mempunyai ilmu dan pengetahuan, bukan sekadar hanya bersandarkan kepada seorang sahaja, kebiasaannya bila nak buat fatwa dia akan melibatkan banyak pakar, kena dengar semua pihak.

“Contohnya, mengenai pemindahan organ, ada kata dia haram tetapi pandangan sains kena dirujuk, barulah duduk sekali buat hukum berlandaskan al Quran, hadis, karangan-karangan muktabar dalam hal ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, bukan semudah itu untuk meluluskan sesuatu fatwa kerana ia perlu melalui analisis terperinci hasil pengertian dan pengetahuan semua pihak yang mempunyai kepakaran untuk tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai.