BAGAN DATUK: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diingatkan supaya tidak bermain politik dalam isu keselamatan awam.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keengganan Guan Eng membenarkan pihak kerajaan memasang kamera sistem penguatkuasaan automotik (AES) di negeri itu diibaratkan sebagai mengundang padah dan merugikan rakyat.

“Dia perlu hentikan perkara ini dan memberi fokus dalam membantu negara berusaha mengurangkan kadar kemalangan sekaligus menyelamatkan nyawa.

“Saya rasa dia nak mulakan polimik politik yang retorik berkenaan isu ini yang hanya merugikan rakyat dan kesemua pihak terlibat,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Akaun Rasmi Wechat “My Perak” di Hutang Melintang pada Jumaat.

Tambah beliau usaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya amat penting memandangkan statistik jumlah korban akibat kemalangan di negara ini telah meningkat daripada 6,706 individu pada tahun 2015 kepada 7,152 tahun lalu.

“Ini kerana untuk memasang AES ini kita perlukan permintaan daripada rakyat dan juga pihak berkuasa tempatan di sesuatu kawasan itu, kalau tiada permintaan kita tidak akan pasang,” jelasnya.

Justeru beliau memberitahu pihak kementeriannya akan meneruskan usaha untuk membolehkan sistem itu dapat dipasang di seluruh negara termasuk Pulau Pinang.

“Pemasangan sistem AES dengan gabungan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang kini dikenali sebagai AWAS ini penting dan amat berkesan dalam memastikan kadar kemalangan di negara ini dapat dikurangkan,” tambah Tiong Lai.

Guan Eng baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan tidak akan membenarkan AES dipasang di dalam itu kerana mendakwa ianya tidak berkesan malah membebankan rakyat.