GEORGETOWN: Perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran di Mahkamah Tinggi bermula hari ini.

Perbicaraan bermula dengan pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap Guan Eng dan Li Koon manakala kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Bagi pertuduhan pindaan pertama Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Guan Eng, 58, dituduh melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, Georgetown di sini pada 18 Julai 2014.

Pertuduhan pindaan itu bagi menukar ayat sebagai penjawat awam dalam pertuduhan asal kepada seorang pegawai badan awam.

Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan, Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Bagaimanapun, nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta dan tertuduh mengetahui bahawa Li Koon mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Guan Eng).

Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 21 Oktober 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pindaan kedua pula menukar tarikh kejadian daripada 28 Julai 2015 kepada 21 Oktober 2015. Li Koon juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Pindaan itu juga membabitkan penukaran tarikh daripada 28 Julai 2015 kepada 21 Oktober 2015.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Guan Eng dan Li Koon tiba di bilik bicara mahkamah pada 8.50 pagi.
Bilik bicara mahkamah dipenuhi dengan anggota keluarga tertuduh serta penyokongnya dan 20 media dibenarkan masuk bagi mengikuti prosiding kes itu.

Media dan orang awam mula berkumpul pada 7.30 pagi dan media dibenarkan masuk ke bilik bicara pada 8 pagi selepas diperiksa dengan alat pengesan logam.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud manakala Guan Eng diwakili peguam antaranya Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer manakala Datuk V Sithambaram dan Hisyam Teh Poh Teik bertindak bagi pihak Li Koon.

Masri memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya tujuh saksi pendakwaan hari ini dan mahkamah juga membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Guan Eng serta Li Koon dibicarakan bersama. – BERNAMA