PETALING JAYA- “Bukan saya yang tandatangan, anda tahukah berapa ramai kakitangan di Kementerian Kewangan?” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditanyakan mengenai sepucuk surat berkenaan kontrak rundingan terus bagi sebuah projek di Kelantan yang tular baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, beliau tidak boleh memberi jawapan kerana perlu berbincang mengenai hal tersebut dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terlebih dahulu.

Beliau juga enggan menjawab sama ada mengetahui mengenai kewujudan surat tersebut atau tidak.

“Biar saya buat pernilaian terlebih dahulu dan saya rasa anda merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri semalam.

“Boleh saya berbincang dengan Perdana Menteri dahulu? Ini kerana surat tersebut bukan ditandatangani oleh saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Surat bertarikh 26 Julai 2019 itu menggunakan kepala surat Kementerian Kewangan dan ditandatangani oleh Datuk Zamzuri Abdul Aziz dari Jabatan Perolehan Kerajaan bagi pihak Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Surat berkenaan didakwa merujuk kepada sepucuk surat yang telah dihantar oleh Perdana Menteri bertarikh 9 Julai 2019.

Ia berhubung sebuah projek reka dan bina Bangunan Gunasama Persekutuan bernilai RM45 juta di Tunjong, Kelantan.

Semalam, Dr. Mahathir menafikan beliau ada meluluskan sebarang projek rundingan terus dan berjanji akan menyiasat perkara ini.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan surat tersebut berkemungkinan adalah hasil daripada rundingan terus yang pernah diadakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.- MalaysiaGazette