KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng seorang yang tidak mempunyai perasaan simpati pada tahap pendidikan kaum Cina di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hanya memperuntukkan RM1 juta kepada TAR UC sedangkan Kementerian Pendidikan penerima terbesar dalam Belanjawan 2020.

Beliau menegaskan pengurangan peruntukan pembangunan TAR UC sebanyak 81.8%, daripada RM5.5 juta kepada RM1 juta, adalah satu penindasan ke atas pelajar-pelajar berketurunan Cina yang kurang berkemampuan.

“Kenapa begitu rendah sikap simpati Bagan terhadap pendidikan kaum Cina di TAR UC?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Lim pada minggu lepas.

Wee juga mempersoalkan kenapa Lim menetapkan syarat-syarat kepada TAR UC jika mahu lebih banyak dana daripada kerajaan.

Beliau mengulas laporan bahawa Lim berkata Putrajaya akan segera memberikan semula dana RM30 juta bagi tahun ini dan tahun depan jika MCA melepaskan kawalan ke atas TAR UC dan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar).

Wee mengingatkan kerajaan bahawa TAR UC bukan institusi politik, sebaliknya institusi pengajian tinggi yang diiktiraf kerajaan.

“Adakah belanjawan ini ditentukan berdasarkan minat dan keinginan Bagan sahaja? Apakah Bagan juga mempunyai kuasa yang sebegitu besar sehingga boleh memnentukan sama ada TAR UC boleh menerima peruntukan atau tidak,” katanya.

Wee meminta Lim menyatakan apakah peraturan dan undang-undang yang digunakannya untuk hanya memberi peruntukan pembangunan kepada TAR UC tetapi tidak perbelanjaan mengurus.

“Sudahlah geran padanan tidak diberikan, peruntukan mengurus tidak diberi, peruntukan pembangunan pula dipotong kononnya kerana TAR UC itu institusi politik,” katanya.

“Saya mohon Bagan supaya berlaku adil kepada 28,000 pelajar TAR UC, bukannya MCA,” tambahnya.

Wee menafikan MCA terlibat secara langsung menguruskan dana TAR UC walaupun ia ditubuhkan parti itu 50 tahun lalu bagi menyokong pendidikan tinggi masyarakat Cina.

“MCA tidak pernah menjadikan TAR UC sebagai platform untuk berpolitik. Janganlah dihukum para pelajar TAR UC dengan pemotongan peruntukan seperti ini hanya kerana TAR UC mempunyai hubungan dengan MCA,” katanya.

Wee merayu Lim berhenti mengugut institusi pendidikan dan mengembalikan semula pemberian geran kepada TAR UC, bagi membantu kos pengoperasian pada jumlah sekitar RM30 juta hingga RM60 juta.

“Dr Mahathir sendiri ketika menjadi menteri kewangan, menteri pelajaran dan juga perdana menteri dari 1981 hingga 2003 juga tidak pernah gagal memperuntukkan geran yang sesuai untuk TAR UC,” katanya.