KAMUNTING: Sebuah gudang menyimpan tayar di kawasan perindustrian Kamunting di sini musnah dijilat api dalam satu kebakaran pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata kebakaran tersebut turut memusnahkan hostel bagi 172 pekerja yang berada dalam bangunan tersebut.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua pekerja berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran pada 6.49 petang itu.‎

“Siasatan awal mendapati bangunan yang hangus terbakar sebanyak 90 peratus tersebut merupakan gudang simpanan dan hostel pekerja di mana di dalamnya disimpan peralatan dan logistik kilang berasaskan tayar dan tiub dalaman kenderaan.

“Kebakaran dipercayai bermula daripada stor simpanan tiub dalaman dan tayar di bahagian belakang bangunan sebelum api jadi marak dan merebak ke seluruh bangunan,”katanya kepada Astro Awani pada malam Selasa.

Katanya, seramai 172 pekerja yang terdiri daripada 83 warga Bangladesh, 59 warga Nepal, 30 Myanmar yang menghuni hostel berkenaan sempat menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam insiden berkenaan.


Harrith berkata pihak bomba berjaya mengawal api tersebut daripada merebak ke bangunan lain dengan operasi pemadaman yang berterusan selama beberapa jam.

Jelasnya, pihak pengurusan kilang masih belum dapat menjangka nilai kerugian sebenar dan siasatan awal mendapati tiada sebarang perbuatan khianat atau jenayah terlibat dalam insiden berkenaan.

Katanya, seramai 57 pegawai dan anggota daripada enam Balai Bomba sekitar Kuala Kangsar sehingga Kuala Sepetang bertungkus lumus memadamkan api.