Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) sedia ada di Perak hanya akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 sekiranya mereka diterima baik pengundi di kawasan masing-masing.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata faktor penerimaan serta populariti mereka di kalangan pengundi merupakan penanda aras utama yang akan digunakan BN Negeri bagi menentukan nasib mereka.

4751ead0-ec21-4a9a-ac2d-144ed5b92d04

Katanya selain calon muka lama, faktor sama akan digunakan BN Negeri bagi menentukan siapa muka baru yang akan diketengahkan.

Dr Zambry yang juga Menteri Besar, berkata prestasi kesemua wakil rakyat BN sepanjang dua penggal beliau memimpin negeri sejak 2009 dilihat amat memuaskan walaupun terdapat segelintir wakil rakyat itu yang tidak mencapai standard yang ditetapkan.

“Saya perlu membuat penilaian sebaiknya, sepanjang dua penggal ini (2008-2018) kita dapati ada wakil rakyat melaksanakan tugas dengan baik, ada juga tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tetapi, itu biasa dalam proses tugas yang dimainkan.

“Mungkin ada perubahan tertentu, kerana ia tidak bersifat statik, malah setiap kali PRU berlangsung ada perubahan baru yang dilakukan,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Jelasnya, pihaknya menerima baik malah menghargai kesemua wakil rakyat BN yang menunjukkan prestasi yang baik dan telah memberi khidmat demi pembangunan rakyat di Perak.

“Takkanlah kita nak tolak mereka, sekiranya rakyat suka mereka, begitu juga jika prestasi (performance) mereka memuaskan, saya yakin mereka akan dikekalkan.

“Dari segi pimpinan parti, kita bukan buat penilaian berdasarkan keputusan saya seorang sahaja, ini tidak boleh… ianya kena dilakukan berdasarkan pandangan umum dan fakta,”katanya lagi.