IPOH 4 Mei – Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Air Ganda di Gerik terpaksa menyambut Ramadan dengan bergantung kepada bekalan air bersih daripada lori tangki berikutan Loji Rawatan Air (LRA) di kampung itu masih belum selamat untuk diminum.

LRA Ayer Ganda yang berkapasiti mengeluarkan 0.68 juta liter air sehari membekalkan air kepada kira-kira 312 buah rumah penduduk di kampung tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati air daripada loji berkenaan hanya boleh diguna untuk kegunaan selain minum.

Menurut beliau, ini kerana kadar bacaan logam arsenik daripada sampel air loji tersebut masih tinggi.

“Pihak kementerian telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi surat minggu lalu berhubung perkara ini untuk tindakan selanjutnya.

“Kita tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan LRA Ayer Ganda dibuka atau tutup tetapi bertanggungjawab melakukan pemeriksaan dan pemantauan sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Hentikan Penderaan Peringkat negeri Perak di Mydin Mall Meru di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming.

Mengulas lanjut, kata Boon Chye, berdasarkan pemeriksaan semasa pihak kementerian masih mendapati air daripada loji berkenaan tidak selamat untuk diminum tetapi boleh digunakan bagi tujuan lain seperti mencuci.

“Saya berharap agar pihak berkenaan dapat menyediakan bekalan air bersih secukupnya untuk kegunaan penduduk di kampung tersebut sehingga keadaan kembali pulih,” katanya.

LRA Ayer Ganda dihentikan operasinya pada 9 April lalu selepas ujian sampel air menunjukkan paras arsenik yang rendah dan di bawah piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu jurang dariapda 0.01 miligram

untuk setiap liter. – UTUSAN ONLINE