JERANTUT: Penduduk beberapa kampung tradisional di seberang Sungai Tembeling dekat sini, menggunakan bot untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tembeling sejak awal pagi tadi.

Seorang pemandu bot, Mohd Shukri Dahalan, 21, berkata beliau menyediakan perkhidmatan bot untuk mengambil dan menghantar pengundi sejak jam 7 pagi tadi secara percuma.

Tinjauan NSTP mendapati terdapat dua bot yang disediakan oleh Barisan Nasional (BN) dan PAS.

“Saya akan menyediakan perkhidmatan ini hingga jam 3petang untuk menghantar penduduk Kampung Gemuruh , Kampung Batu Balak dan Kampung Pasir Tambang mengundi. Lima tahun sekali saya berbakti kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semua pengundi daripada Kampung tradisional yang terletak di sepanjang Sungai Tembeling itu mengundi di SK Kuala Tembeling yang terletak di seberang sungai.

Sementara itu, sebatang pokok tumbang merentangi Jalan Jerantut-Damak menghalang puluhan kenderaan yang mahu mengundi di Kampung Lata Kasah, jam 8 pagi tadi.

Namun, tindakan pantas lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memotong dan membersihkan pokok berkenaan selepas menerima panggilan kira-kira jam 8.45 pagi.

Ketua operasi APM Jerantut, Muhd Saiful Sazwan Bakeri, berkata pihaknya selesai melakukan kerja pembersihan dan memotong pokok yang menghalang trafik di situ kira-kira jam 10.30 pagi – berita harian