SHAH ALAM – Jabatan Imigre­sen mewajibkan semua pekerja asing di negara ini menggunakan sistem pengecaman cap jari biometrik ketika melakukan pemeriksaan saringan kesihatan di klinik panel Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) bermula Oktober ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sistem yang akan beroperasi di lebih 3,000 klinik panel Fomema itu diwujudkan bagi menangani masalah pemalsuan identiti melibatkan pekerja asing.

“Sebelum ini, kita (Jabatan Imigre­sen) mengesan kes warga asing yang menggunakan individu lain untuk menjalani saringan kesihatan mereka.

“Walaupun jumlah itu kecil, ia dianggap serius kerana membabitkan soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Sistem Biometrik Pekerja Asing Fomema di Klinik Ajwa, Seksyen 7 di sini semalam.

-KOSMO