IPOH: Ibu bapa, khususnya yang mempunyai anak bersekolah mula memenuhi kaunter Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di Pejabat Pos dan bank-bank sekitar Ipoh bagi mengambil dividen dan bonus Amanah Saham Bumiputera (ASB) masing-masing.

Mereka memilih untuk mengambil pulangan itu lebih awal untuk menampung semula perbelanjaan yang telah digunakan bagi membeli peralatan dan baju sekolah anak-anak.

Menurut ibu bapa yang ditemui, walaupun dividen untuk tahun ini kurang berbanding tahun-tahun lalu, namun ia masih cukup untuk mengantikan semula wang yang telah digunakan akhir tahun lalu.

Kerani swasta, Musni Musa, 37, berkata, pulangan itu sedikit sebanyak membantu keluarganya mengharungi tahun baharu 2017.

“Bila masuk tahun baru ini, memang banyak pakai duit, anak saya ada tiga orang yang masih bersekolah, jadi bayangkan berapa banyak duit yang telah dipakai.

“Jadi dengan dividen yang saya ambil ini, dapatlah sedikit sebanyak menampung semula duit-duit yang telah dipakai untuk hidup sampai hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui Suara Perak pada Selasa.

Kakitangan kerajaan, Rosmaini Anjang pula berpendapat, cuti yang diambilnya bersempena hari pertama persekolahan merupakan faktor beliau memilih untuk mengambil dividen dan bonus ASB lebih awal.

“Hari pertama sekolah selalunya ibu bapa bercuti, jadi kita pun ambil peluanglah datang terus ke sini ambil dividen, kalau datang kemudian nanti beratur panjang.

“Dividen itu memang tak banyak sangat tapi bolehlah setakat nak guna tampung semula wang untuk anak-anak sekolah ini dan perbelanjaan harian,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi golongan pesara pula, pulangan itu diambil lebih awal untuk membayar zakat selain membantu meringankan beban anak-anak mereka yang mempunyai anak bersekolah.

Che Tak Kassim, 59, memberitahu, beliau sengaja memilih untuk mengeluarkan pulangan itu untuk membayar zakat lebih awal.

“Bila dah selesaikan lebih awal nanti senang, tak perlu terkejar-kejar dan memang digalakkan untuk umat Islam ini kalau boleh zakat itu kita percepatkan jangan tunda-tunda kalau dah mampu.

“Selebihnya pula saya baru pindah rumah baharu, jadi nak beli perabot-perabot dan peralatan yang diperlukan,” katanya.

Pada 22 Disember lalu, ASNB mengumukan pengagihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus sebanyak 0.50 sen seunit untuk tabung ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.