MELAKA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperluaskan penggunaan teknologi dron dalam usaha memerangi pembiakan nyamuk aedes mulai tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian itu juga bersedia untuk meluluskan sejumlah peruntukan kepada setiap Jabatan Kesihatan negeri bagi membolehkan penggunaan teknologi berkenaan di setiap negeri.

“Walaupun harganya yang mahal mencecah kira-kira RM20,000 seunit, ia adalah pelaburan yang baik dan sangat munasabah menjadi aset kepada Jabatan Kesihatan negeri.

“Memandangkan kita mempunyai sedikit penambahan bajet dalam Belanjawan 2019, saya yakin setiap negeri boleh memohon dan akan diberikan peruntukan yang munasabah,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Gotong-Royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan 2018, yang turut dihadiri Ketua Menteri, Adly Zahari dan EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong di Taman Saujana Seksyen 2, Bukit Katil, di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, penggunaan dron dilihat amat efektif dalam membantu mengesan pembiakan aedes terutamanya di lokasi yang terlindung dan tinggi.

“Saya akui ia sesuatu yang baharu serta canggih. Ini terbukti keberkesanannya apabila Jabatan Kesihatan Melaka sendiri sudah menggunakannya.

“Walaupun penggunaan dron akan digunakan kelak namun kerjasama penduduk dalam turut serta membasmi pembiakan nyamuk aedes juga penting,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan dron akan dipantau KKM dalam menilai tahap pencapaian dan keberkesanannya bagi membantu pengurangan kes denggi.

Mengulas mengenai situasi denggi di negara ini, Dzulkefly berkata, statistik menunjukkan penurunan kepada 17 peratus pada tahun ini berbanding tempoh sama Januari hingga November tahun lalu dengan jumlah 76,054 kes.

Beliau berkata, kes kematian akibat denggi juga menurun sebanyak 33 peratus iaitu daripada 162 kepada 108 orang – berita harian