IPOH: Kerajaan negeri Perak sedang mengkaji kemungkinan untuk menggunakan kaedah bio organik bagi mengurangkan lagi kes demam denggi di seluruh negeri ini.

Bagaimanapun, cadangan itu masih di peringkat awal kerana ia perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Intergrasi Nasional dan Sumber Manusia, YB A. Sivanesan berkata, mengikut kaedah lama yang diamalkan sejak lebih 50 tahun lalu, semburan nyamuk (fogging) menggunakan ubat yang dicampur minyak diesel.

Bagaimanapun, kaedah itu hanya untuk semburan di kawasan luar rumah atau bangunan di samping kemungkinan memberi kesan negatif kepada petugas semburan itu.

“Kita ada terima cadangan alternatif menggunakan kaedah bio organik yang seratus peratus tidak menggunakan bahan kimia, sebaliknya mengunakan formula yang diekstrak daripada serai,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada syarikat pengeluar formula berkenaan, Revoganix Sdn. Bhd. di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Turut hadir di dalam taklimat itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan negeri, YB Dr Abdul Aziz Bari, wakil-wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

YB Sivanesan berkata, jawatankuasa yang mendengar taklimat itu berpuas hati dengan penerangan yang diberikan dan bersetuju memberi peluang kepada syarikat berkenaan untuk membuat percubaan di sebuah kawasan yang belum pernah dilakukan semburan nyamuk.

“Jabatan Kesihatan akan mengenalpasti satu kawasan, sama ada di Manjung atau di kawasan MBI untuk membuat percubaan secara percuma dan jika ada kesan positif, kita akan bawa perkara ini ke peringkat Kementerian Kesihatan,” ujarnya.

Menurut beliau, walaupun keseluruhan kes denggi menurun di negeri ini tetapi dengan adanya alternatif yang dicadangkan itu, ia dapat terus dikurangkan kerana ia juga selamat digunakan di dalam premis.

Dalam hubungan ini, beliau memberitahu, bagi tempoh 19 Mei hingga 18 Jun tahun ini, Perak mencatatkan 1,197 kes, berkurangan kira-kira 64 peratus, berbanding 3,295 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau menambah, kes kematian akibat denggi juga merosot daripada enam kes bagi tempoh yang sama tahun lalu kepada tiga kematian untuk tempoh yang sama tahun ini.

Beliau memberitahu, Manjung mencatat kes tertinggi iaitu 379 kes, diikuti Kinta (356 kes) dan Hilir Perak (126 kes) manakala daerah Muallim mencatatkan kes paling rendah iaitu 10 kes sahaja.