Pengangkutan khas pelancongan dengan konsep ‘Hop On Hop Off’ wajar dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah perhubungan ke setiap lokasi menarik di negeri Perak.

Menurut Perwakilan Dewan Belia, Nurhanis Zulifah Hamil, suntikan idea itu merupakan strategi jangka pendek sekaligus memberi nafas baru kepada industri pelancongan negeri ini dengan menumpukan kawasan pelancongan berpotensi tinggi.

“Perak menyasarkan untuk menerima kedatangan seramai 7 juta pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2017 (TMP) yang berlangsung pada tahun ini dan 500,000 daripada 7 juta tersebut adalah pelancong antarabangsa.

“Rintis Projek ini akan beroperasi di semua Pusat Pelancongan yang ada dalam negeri Perak tidak kira di darat mahupun di air sekaligus ‘Hop On Hop Off’ ini menjadi identiti utama dalam industri pelancongan negeri amnya,” ujar Hurhanis.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul bertajuk Menaiktaraf Infrastruktur Dan Perkhidmatan Pengangkutan Pelancongan Serta Menggalakkan Belia Menceburi Bidang Pelancongan Negeri Perak di Persidangan Dewan Belia Perak pada Sabtu.

Sehubungan itu jelasnya cadangan projek ini merangkumi tiket berbayar ke semua lokasi, trek laluan dan bas yang melalui lokasi pusat pelancongan terpilih selain mempunyai ‘pickup point’ di lokasi menarik.

“Semestinya bas itu ada jadual berkala, mempunyai kemudahan wifi bas dan hanya menggunakan bas terpakai yang dinaiktaraf semula dengan rekabentuk bercirikan negeri Perak.

“Contohnya bas ‘Hop On Hop Off’ beroperasi dalam kawasan pusat pelancongan Ipoh dan akan dipenuhi dengan rekabentuk serta seni bercirikan Old Town Ipoh juga Hipster,” ujarnya.

Sementara itu, Program Pembangunan Modal Belia juga dicadangkan dengan mensasarkan golongan belia yang berminat terhadap sektor pelancongan.

“Program yang boleh dilaksanakan adalah Skim Insentif Perlesenan Pelancongan Belia seperti lesen skuba, pemandu bot pelancong dan pemandu pelancong. Selain itu Program Skim Bahasa Ketiga Khas Belia dan Skim Pengurusan Pelancongan Belia,”katanya.