KOTA KINABALU: Memandu bas menggunakan lesen palsu dan tiada dokumen diri yang sah.

Itu antara kesalahan dikesan dalam operasi bersepadu diketuai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah di seluruh negeri berakhir lewat malam tadi, selain ramai didapati memandu tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

Operasi serentak bermula jam 6 petang itu turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata sepanjang operasi itu, pihaknya memeriksa 1,113 kenderaan membabitkan kenderaan awam dan persendirian.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 448 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

“Bagi kesalahan narkotik, sebanyak 10 individu diperiksa dan hanya seorang lelaki berusia 20-an ditahan selepas didapati positif dadah manakala tiga lagi individu ditahan selepas didapati berada dalam senarai dikehendaki polis.

“Dalam operasi di Kota Belud, kita menahan seorang lelaki berusia 30-an kerana memandu bas sewa menggunakan lesen palsu dan tiada dokumen diri yang sah,” katanya selepas operasi bersepadu di Taman Putrajaya, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pengarah LPKP Sabah, Arfian Julian dan Ketua JSJN Sabah, Superintendan Mohamed Fadzil A Rahman.

Mohd Zamzuri berkata, operasi itu dijalankan bagi memastikan pengusaha kenderaan awam sentiasa mengikuti peraturan yang ditetapkan.

“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan penumpang kenderaan awam selamat selain mendidik pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikuti peraturan,” katanya – berita harian