IPOH- Pengguna yang sering menggunakan perkhidmatan Mesin Jual Air (MJA) di negeri ini dinasihatkan agar memastikan mesin tersebut mempunyai lesen yang sah diluluskan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming, sehingga kini hanya sebanyak 61 mesin atau 20 peratus MAJ yang beroperasi di negeri ini memiliki lesen yang sah.

Ujarnya, jumlah itu rendah berbanding keseluruhan iaitu sebanyak 860 MAJ di Perak.

“Sebanyak 119 permohonan dalam proses untuk mendapatkan lesen, jadi di sini kita melihat kesedaran masih rendah dan ramai pemilik syarikat MAJ belum lagi memohon lesen.

“Kementerian Kesihatan mengambil berat tentang perkara ini dan kita jayakan operasi penguatkuasan untuk memberi kesedaran di samping pastikan air yang diberi kepada pengguna berkualiti dan selamat diminum,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai pemeriksaan ke atas Mesin Jual air berlesen dan tidak berlesen bagi Operasi MJA di sini baru-baru ini.

Tambahnya, pihaknya memberi tempoh selama dua minggu bermula hari ini bagi semua syarikat yang terbabit untuk membuat permohonan dengan JKN.

“Selepas tempoh itu, tindakan pengeluaran noti Seksyen 32B Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C (4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 akan dilaksanakan.

“Sekiranya gagal hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk ditawarkan kompaun dalam tempoh ditetapkan kes akan dirujuk ke mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,”katanya.