KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai membuat laporan polis hari ini bagi menafikan pembabitannya dalam kegiatan mengutip wang bagi kelulusan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Serigai.

Uda yang membuat laporan polis itu kira-kira jam 10 pagi tadi menyatakan tindakan itu selepas pihaknya menyedari wujudnya satu kegiatan mengutip wang untuk kelulusan rumah PPR Serigai yang mempergunakan nama beliau.

Uda berkata, beliau tidak pernah membenarkan sesiapa menggunakan namanya sebagai ADUN di kawasan itu untuk meluluskan atau memberi rumah PPR Serigai dengan kos tertentu.

“Susulan satu kenyataan yang dimuatnaik di media sosial sehingga tular, saya terpaksa membuat laporan polis bagi menafikan terbabit dalam kegiatan itu.

“Saya secara peribadi tidak mengenali individu yang terbabit dan tindakannya itu mencemarkan nama baik saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Justeru, Uda menyarankan kepada orang ramai yang sudah tertipu oleh individu yang menjanjikan rumah PPR Serigai dengan bayaran supaya tampil buat laporan polis.

“Di sini saya ingin maklumkan pada orang ramai bahawa urusetia permohonan rumah PPR adalah dikawal selia oleh Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan.

“Kepemimpinan Kerajaan Sabah atau Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak ada melantik mana-mana individu untuk mengurus pengagihan rumah PPR Serigai,” katanya.

Uda berkata, beliau berharap penjelasannya itu dapat dijadikan pengajaran kepada semua supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terperdaya.

Katanya, sesiapa yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung masalah berkaitan, boleh berhubung dengan pejabat UPPM Petagas – Berita harian