SAMARAHAN: Pengimbas sonar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) digunakan untuk mengesan sebuah pacuan empat roda yang tenggelam bersama pemandunya di Sungai Batang Samarahan di sini, sejak Isnin lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samarahan, Jackson Anyie yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR), berkata teknologi itu mampu memberi petunjuk baharu dalam usaha pencarian kenderaan Mitsubishi Storm di dasar sungai berkenaan.

Katanya, kenderaan itu dikenal pasti di dasar sungai antara tiga lokasi pada jarak 100 hingga 150 meter dari jeti, namun sukar untuk pasukan SAR mengesahkannya kerana faktor arus sungai yang deras, selain penglihatan yang sangat terhad di kawasan sungai.

“Teknologi sonar yang dimiliki TLDM diyakini mampu mengesan lokasi kenderaan lebih terperinci sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari pasukan Bomba dan Penyelamat menyelam bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Kaedah menghanyutkan sauh agak sukar kerana arus sungai yang deras dan sentiasa berubah. Ia juga boleh menyebabkan lokasi kenderaan berubah berdasarkan arus sungai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jackson berkata, lokasi pencarian juga diperluaskan sehingga lima kilometer di hulu dan hilir Sungai Batang Samarahan kerana berkemungkinan kenderaan mangsa dihanyutkan mengikut pasang surut air.

Katanya, pasukan SAR juga kini menambah keanggotaan, termasuk bantuan daripada Tentera Darat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Dalam kejadian Isnin lalu, Berbanas Lias Jalal, 77, dilaporkan tenggelam bersama kenderaan dipandunya ketika menaiki feri dari Jeti Muara Tuang menuju ke Asajaya untuk pergi ke ladang sawitnya.

Namun, selepas feri berkenaan belayar dalam jarak antara 20 meter, kenderaan mangsa tiba-tiba bergerak sebelum warga emas itu bergegas masuk untuk menarik brek tangan tetapi tindakannya itu tidak berjaya sebelum tergelincir ke dalam sungai – berita harian