TAPAH– Kerajaan negeri sedia memberi sebarang peruntukan bagi memperkasakan sektor pendidikan di Perak demi pelaburan golongan muda di masa hadapan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, pihak berkaitan serta sekolah khususnya, perlu mengutamakan perbelanjaan bagi kepentingan pelajar dan tidak terlalu terikat dengan keperluan protokol.

“Saya tiada masalah untuk tambah peruntukan kepada sekolah asalkan ia untuk pendidikan dan kebaikan pelajar.

“Sudah tiba masanya kita lari dari kebiasaan dan berfikir luar kotak, khususnya dalam membelanjakan peruntukan yang diberikan.

“Sebagai contoh, ada sekolah yang minta peruntukan tetapi separuh daripada perbelanjaan itu dibazirkan untuk program-program melibatkan protokol, cenderahati kepada VIP yang datang…bagi saya itu tidak perlu pun,” katanya.
ketika menyempurnakan majlis perasmian Penyampaian Set Alat Tulis Peperiksaan 2018 di Sekolah Menengah Sains Tapah di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sektor pendidikan akan menjadi fokus utama dalam pembentangan Bajet kelak.

“Sektor pendidikan akan menjadi perhatian yang khusus dalam bajet tahun depan.

“Ia pelaburan penting bagi kerajaan negeri memastikan anak-anak kita dapat akses pendidikan yang berkualiti dan akhirnya membantu memacu negeri,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Faizal menyampaikan set alat tulis peperiksaan kepada wakil pelajar setiap sekolah di DUN Chenderiang.

Majlis tersebut merupakan anjuran Yayasan Perak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang.

1,524 orang pelajar menerima sumbangan ini dengan jumlah pelajar UPSR seramai 455 orang, 560 orang pelajar PT3 dan 509 orang pelajar SPM.

Penyampaian itu merupakan siri kedua selepas Parlimen Tambun yang berlangsung pada 6 September lepas, melibatkan 6,906 orang pelajar.