IPOH: Parti Amanah Negara (PAN) Perak dikecam kerana menggunakan platform perayaan Tahun Baru Cina untuk cuba menghasut rakyat supaya membuat perubahan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN)

 

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang membuat kecaman itu berkata, PAN Perak tidak sepatutnya menggunakan platform berkenaan untuk menghasut rakyat sedangkan perayaan itu menganjurkan kepada perpaduan dan keharmonian kaum.

 

“PAN Perak tidak sepatutnya berbuat demikian kerana perayaan Tahun Baru Cina ini, kita mempromosikan keharmonian kaum, kebaikkan dan hormat-menghormati, jangan pula menghasut, benci dan membenci,’’ katanya.

 

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan rumah terbuka sempena perayaan Tahun Baru Cina di kediamannya di Taman Gunung View, Ipoh pada Sabtu.

 

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Pengerusi PAN Perak, Tan Seng Soh semalam yang meminta rakyat di negara ini mengambil peluang untuk melakukan perubahan bagi menyelamatkan negara serta memastikan nilai ringgit kembali kukuh.

 

Seng Soh berkata, sempena sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini, seluruh rakyat tidak mengira bangsa perlu bersama membuat perubahan.

 

Bagaimanapun, Ka Chuan yakin dan percaya, rakyat khususnya kaum Cina tidak mudah termakan hasutan pembangkang kerana telah melihat kekuatan BN yang semakin mantap pada ketika ini dan jasa BN dalam membela kebajikan dan nasib masa depan rakyat.