LONDON: Arsene Wenger menyifatkan impian Arsenal untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara kini dalam bahaya selepas tewas 0-1 di tangan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.

Harry Kane muncul wira Spurs apabila meledak gol kemenenangan pasukan itu pada babak   kedua perlawanan yang berlangsung di Stadium Wembley.

Kekalahan itu menyaksikan The Gunners kekal di tangga keenam liga, enam ketinggalan dengan kelompok empat pasukan teratas.

Menambah kebimbangan Wenger, jurang itu kemungkinan menjadi lebih besar apabila penghuni tangga keempat, Liverpool beraksi menentang Southampton, malam ini.

Jika gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan dengan berada dalam kelompok empat terbaik, ia akan menjadi satu lagi tamparan hebat buat Wenger yang menyaksikan anak buahnya musim ini sekadar bermain dalam saingan Liga Europa.

“Ia adalah perlawanan yang kami tidak boleh kalah, ia menjadikan peluang kami lebih sukar.

“Kami perlu berjuang, ia sebenarnya bukan sekadar perlawanan jiran tetangga. Sebab itu ia sangat mengecewakan.

“Ia mengecewakan kerana keutamaan adalah untuk berada dalam kelompok empat terbaik dan layak ke Liga Juara-Juara. Saya tidak suka untuk menjadi juara Liga Europa dan layak ke Liga Juara-Juara tetapi ia adalah peluang yang kami tidak boleh sia-siakan,” kata Wenger.

Sementara itu, pengurus Spurs, Mauricio Pochettino masih mencari cara terbaik untuk menghemburkan pujian terhadap aksi cemerlang Kane.

Gol ke-32 musim ini yang dihasilkan penyerang England berusia 22 tahun itu menyaksikan dia kini sudah meledak tujuh kali dalam tujuh perlawanan menenetang Arsenal.

Pochettino sekali lagi menegaskan Kane berhak untuk diletakkan bersama penyerang terbaik dunia.

“Sudah pasti Kane salah seorang penyerang terbaik dunia. Saya sudah mengatakannya beberapa kali sebelum ini.

“Kamu mungkin ingat saya berkata begitu disebabkan dia dia adalah pemain saya dan saya cuba untuk meningkatkan motivasinya.

“Saya ulanginya semula yang dia adalah terbaik di dunia berdasarkan pengalaman saya dalam bola sepak.

“Dia adalah salah seorang penyerang terbaik dunia dan bagus dapat memilikinya bersama pasukan,” kata Pochettino.

Spurs masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan liga dan kekal di landasan terbaik untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan. – berita harian