KUALA LUMPUR: Seorang guru agama dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan mengendalikan harta milik pengganas dengan membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang daripada akaun banknya untuk kegunaan pengganas, tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Junaidi Omar, 30, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan kes itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 25 Mei tahun lalu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Azman berkata, perbuatan membantu pengganas adalah kesalahan serius walaupun mempunyai hubungan darah daging.

”Kesalahan yang dilakukan perlu dibanteras jika tidak ia akan merebak,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan pengetahuannya membenarkan kemasukan wang berjumlah RM6,360 milik Muhammad Fudhail Omar yang juga adik tertuduh ke dalam akaun bank miliknya dan seterusnya membuat pengeluaran wang bagi manfaat pengganas itu.

Tertuduh seorang lulusan Diploma Bahasa Arab dari Mesir didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Maybank Cawangan Baling, Kedah, antara 28 dan 30 April, 2017.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, iaitu penjara sehingga 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi manakala tertuduh diwakili peguam Syahredzan Johan.

Terdahulu, Syahredzan merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya atas alasan hanya sekali saja tertuduh menghantar wang kepada Muhammad Fudhail namun tidak mengetahui untuk apa ia digunakan.

”Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun. Isterinya seorang doktor gigi. Ini adalah kesalahan pertama tertuduh,” katanya.

Budiman bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman yang setimpal dengan mengambil kira keseriusan perbuatan tertuduh yang menyokong pengganas.

Berdasarkan fakta, Muhammad Fudhail memberi seutas rantai dan gelang kepada tertuduh untuk digadaikan.

Hasil gadaian barang kemas itu, tertuduh memperoleh wang RM6,360 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya lalu dikeluarkan dan dipindahkan pula ke sebuah akaun di Indonesia – berita harian