KUALA KANGSAR – Guru agama dan takmir perlu memainkan peranan penting dalam membimbing serta menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat umum demi mengembangkan syiar Islam dengan lebih berkesan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembentukkan ummah tidak hanya terletak kepada kelompok guru yang mengajar di dalam bilik darjah semata-mata malah ianya merupakan tanggungjawab bersama khususnya guru agama serta imam, bilal dan siak.

“Kita perlu melihat aspek pembentukan manusia itu sendiri, jangan harapkan guru-guru di sekolah sahaja, kita juga perlu mendidik anak-anak kita mengenai ciri-ciri kepribadian yang mulia selain ilmu agama.

“Tunjukkan juga melalui tauladan serta tabiat baik, contohnya kebersihan di tempat-tempat umum atau Masjid, pastikan tandas-tandas bersih kerana ia juga melambangkan keperibadian kita sebagai orang beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Perak di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Lebih 2,000 pendidik terdiri daripada guru agama serta imam, bilal dan siak hadir pada majlis terbabit.

Pada majlis itu, Asyraf Wajdi menyampaikan cek berjumlah RM60 juta iaitu peruntukan kerajaan Persekutuan melalui JAKIM kepada kerajaan negeri bagi membayar imbuhan imam, elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan Takmir termasuk imam, bilal dan siak sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu, Dr Zambry juga mengingatkan semua penganut agama Islam agar bersatu dan jangan bermusuhan hanya semata-mata kerana mempunyai perbezaan pendapat.

“Jangan kita bertelagah, bermusuhan…cukup-cukup lah..buang kebencian di antara kita, di Perak ini hanya 50.2 peratus sahaja penduduknya yang beragama Islam, jangan kita berpecah.

“Cabaran zaman sekarang amat getir, memang wujud unsur-unsur luar yang mahu melihat kita orang Islam berpecah jadi jangan kita biarkan mereka capai agenda berkenaan, ketepikan perbezaan politik dan bersatu demi agama,” ujarnya.