AYER KEROH: Seorang guru sekolah asrama penuh di Negeri Sembilan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajarnya, November lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Ab Malek Sanat, 60, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal seorang pelajar perempuan yang ketika itu berusia 16 tahun di sebuah hotel di Taman Melaka Raya, di sini, sekitar jam 3 petang hingga 9.30 pagi, antara 2 hingga 4 November 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim yang mengendalikan kes itu mencadangkan jaminan RM20,000 namun tertuduh yang diwakili Peguam Andrew Lourdes, merayu jaminan rendah diberikan kerana anak guamnya perlu menanggung seorang isteri dan tiga anak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma menawarkan tertuduh jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes – Berita harian