KUANTAN: Jabatan Pendidikan Pahang sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat salah laku seorang guru besar di negeri ini yang didakwa menyalahgunakan peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Pengarahnya, Dr Tajuddin Mohd Yunus, berkata, pihaknya sudah menulis surat rasmi dan menyerahkan kepada SPRM Pahang bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Apabila membabitkan soal kewangan (salah guna) kita akan buat laporan kepada SPRM supaya siasatan secara adil dapat dijalankan.

“Buat masa ini guru besar berkenaan bertugas seperti biasa dan siasatan dalaman di pihak Jabatan Pendidikan negeri dan Pejabat Pendidikan daerah turut dilakukan,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular di laman Twitter berhubung dakwaan pengguna laman sosial itu melalui akaun @mimieooooo berhubung salah laku seorang guru besar di sebuah sekolah kebangsaan di Jerantut yang didakwa membuat tuntutan RMT secara tidak telus.

Pengguna Twitter itu mendakwa ibunya yang juga pengusaha kantin sekolah berkenaan diarahkan menyediakan makanan untuk 85 pelajar walhal sudah menandatangani perjanjian untuk menyediakan makanan kepada 91 pelajar.

Sementara itu, Tajuddin berkata laporan kes serta perkembangan siasatan turut dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan.

“Jika perkara itu benar terjadi kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak… sepatutnya mereka (guru besar) mengetahui perkara ini (seleweng dana RMT) adalah perkara yang salah dan boleh dikenakan tindakan.

“Guru dan kakitangan pendidikan semuanya profesional dan terlatih, sepatutnya kes seperti ini tidak timbul,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu adalah kes pertama yang dilaporkan di Pahang dan berharap perkara seperti itu tidak berlaku pada masa akan datang – berita harian