KUALA LUMPUR : Dua saksi dirakam keterangan berhubung isu nyanyian lagu kebangsaan “Negaraku” dalam bahasa Mandarin di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Seremban, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.

Beliau berkata 2 saksi berkenaan adalah penolong pengarah sektor perancangan dan pengurusan dari Pejabat Pendidikan Daerah (Aduan/Siasatan), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan serta guru besar sekolah itu.

“Rakaman percakapan ke atas saksi-saksi lain akan dilaksanakan berdasarkan temu janji yang telah diaturkan,” katanya dalam kenyataan pada awal pagi ini.

Pada 6 Dis lepas, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan menyatakan pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan melibatkan Perlembagaan, sama ada secara sengaja atau tidak.

Video berdurasi 1 minit 23 saat yang menunjukkan murid menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin itu didakwa dirakam pada 26 Sept tahun lalu.

Dalam insiden berkaitan, nyanyian lagu kebangsaan dinyanyikan dalam bahasa Arab dikesan berlaku di sebuah sekolah kebangsaan di Gurun, Kedah.

“Rakaman percakapan atas saksi-saksi yang dikenal pasti telah dilaksanakan semalam melibatkan guru besar, pegawai pendidikan daerah Kuala Muda, Kedah serta suspek yang merakam serta memuat naik video itu dalam Facebook.

“Sehingga kini polis menerima 8 laporan berkaitan isu sama dan kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Pada 7 Dis lepas, rakaman lagu Negaraku dinyanyikan sekumpulan remaja di dalam kelas dipercayai sekolah agama dan sekolah rendah yang masing-masing antara 1 minit 2 saat hingga 1 minit 28 saat.

Huzir berkata kertas siasatan bagi kedua-dua kes itu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan.

Mengenai kes berkaitan video tular Jalur Gemilang bintang pecah 5 dan jalur merah/putih 11 baris, Huzir berkata polis menerima 31 laporan mengenainya dan mengambil keterangan 5 saksi terdiri daripada pengadu, penganjur, setiausaha eksekutif persatuan, pengarah syarikat dan vendor teknologi maklumat.

Rampasan perkakas yang digunakan turut dilakukan.