PASIR GUDANG : Dua guru sekolah rendah dari Korea Selatan teruja untuk mencurah khidmat bakti untuk murid Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia (SKTBD) di sini selama tiga bulan bermula hari ini.

Dua guru terbabit, iaitu Lee Kyeong Hun, 28, dan Choe Jong Hyeon, 30, merupakan antara 10 guru dari Korea Selatan yang menyertai Program Pertukaran Guru Korea Malaysia (Komtep) 2019.

Menurut Kyeong Hun melakukan beberapa persediaan sebelum memulakan khidmat sebagai guru di sekolah kebangsaan dalam negara ini.

“Saya telah mula belajar sedikit Bahasa Melayu, khususnya untuk memperkenalkan diri dan memulakan perbualan.

“Saya juga bersedia bekerjasama dengan sekolah dan murid-murid untuk sama-sama belajar kepelbagaian budaya antara satu sama lain,” ujarnya yang akan memberi fokus kepada subjek Bahasa Inggeris dan sukan.

Komtep dianjurkan secara tahunan sejak 2014 melibatkan 10 guru dari Korea Selatan akan berkhidmat di sini manakala 10 guru dari Malaysia akan berkhidmat di negara tersebut selama tiga bulan.

Sementara itu, Guru Besar SKTBD, Mohd. Senin Kassim berkata, pihaknya berbesar hati untuk menerima kehadiran dua guru dari Korea Selatan menerusi program berkenaan.

“Saya percaya program pertukaran guru ini akan memberi impak positif bukan sahaja kepada guru terlibat, tetapi juga kepada warga sekolah dan murid-murid.

“Secara tidak langsung pertukaran budaya dan ilmu pengetahuan akan berlaku antara mereka dan pihak sekolah akan bekerjasama dalam menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui.